Gambar Hiasan
Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti
 wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu 
menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang 
seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk 
syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan 
wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia 
pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula 
masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak 
kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat 
mereka, nescaya aku bunuh diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair 
telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia 
mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair
dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah 
diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa 
telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi 
peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu 
pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah 
telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai
 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya 
agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga 
ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat
 dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan
 ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan 
rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi
Allah, yang tiada tuhan selain 
 Dia,
 sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan
 seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah 
memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna 
kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu 
pahala yang disediakan oleh
 Allah s.w.t. kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah
bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, 
 "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, 
dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga 
menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah 
dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu.
 Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari
Allah s.w.t.. Jika kamu melihat api 
pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang 
sedang bergejolak, masuklah
kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan 
pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung 
yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah
 Allah s.w.t. iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga
 Allah s.w.t. memberikan mereka 
kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam
 telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan 
perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari 
ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam 
melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam 
mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan
 Allah s.w.t..
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat 
dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa 
takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka 
bersyair,                            
"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah 
memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang 
keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita 
buktikan sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul 
pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. 
Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami 
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah 
bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama 
Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah." Anak Khansa yang ketiga pula
 segera melompat dengan beraninya dan bersyair, "Sungguh ibu tua kami 
kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan 
kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang 
ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri.
Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan 
diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati 
Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul 
abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair, "Bukanlah 
aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 
'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera
 asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan 
musnah mangsa oleh senjataku." Bergelutlah keempat-empat putera Khansa 
dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat 
bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera
 Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera 
Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera
 berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun 
tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan
 bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan 
menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang
 lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan 
mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, 
akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh
 pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah 
teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat 
menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang 
gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu 
berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu
 terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah 
tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa 
keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita 
itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus 
memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi 
Allah s.w.t., yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii
 Tuhanku, agar 
 Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan
rahmat-
Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih 
hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran 
Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat 
gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang 
yang mati syahid."