Saturday, September 1, 2012

Khurasan dan Tentera Imam Mahdi


Bilakah hari kiamat? adakah tentera mahdi dan dajal sudah muncul?

Dari hadis sahih Muslim yang bermaksud:


Nabi sallallahu alaihi wasallam ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

Celaka bangsa arab dari keburukan yang telah dekat, hari ini telah dibuka benteng ya'juj dan Ma'juj seperti ini ~ Hadis Sahih Bukhari.

Kiamat tidaklah terjadi hingga kamu melihat sepuluh tanda-tanda sebelumnya

1. kabut, 
2. Dajjal, 
3. binatang (haiwan melata), 
4. terbitnya matahari dari barat, 
5. turunnya Isa bin Maryam Shallallahu 'alaihi wa Salam, 
6. ya'juj dan ma'juj, 
7. Gerhana di timur, 
8. Gerhana di barat 
9. Gerhana di jazirah arab 
10. api muncul dari Yaman (di negeri Adan; riwayat Ahmad dan Tirmizi) menggiring manusia menuju tempat perkumpulan mereka.
~ Hadis Sahih Muslim.

Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali 

1. setelah hilangnya ilmu, 
2. banyak terjadi gempa, 
3. waktu seakan berjalan dengan cepat, 
4. timbul berbagai macam fitnah, 
5. Al haraj (pembunuhan) 
6. harta melimpah ruah 
~ Hadis Sahih Bukhari.

Antara tanda-tanda kiamat adalah 

1. sedikitnya ilmu dan merebaknya kebodohan, 
2. zina secara terang-terangan, 
3. jumlah perempuan yang lebih banyak dan sedikitnya laki-laki, pada nisbah 50 perempuan sama dengan 1 orang laki-laki. 
~ Hadis Sahih Bukhari.

Antara tanda-tanda kiamat adalah 

1. diangkatnya ilmu dan merebaknya kebodohan 
2. minumnya arak dan perzinaan secara terang-terangan
~ Hadis Sahih Bukhari.

Tidak akan tiba Hari Kiamat sampai manusia bermegah-megahan dalam membangunkan Masjid (Hadis Abu Daud)

Dalam tradisi pengajian akidah Islam, Imam Mahdi dibicarakan dalam bab tanda-tanda Kiamat, ia diletakkan sebaris dengan kemunculan Dajjal dan turunnya Nabi `Isa yang berkerjasama dengan Imam Mahdi untuk membunuh Dajjal. Imam Mahdi tidak dibicarakan dalam rukun-rukun iman yang wajib dipercayai setiap orang mukmin, ini kerana persoalan tentang Imam Mahdi, bukan persoalan asas dan utama.

Sungguhpun begitu, saya berpendapat tidak benar jika ada orang mengatakan Imam Mahdi sebagai kesah dongeng atau rekaan yang tidak berasas, kerana asasnya ada dalam hadis. Sebahagian ulama termasuk Ibn Taymiyyah menytifatkan hadis-hadis itu sebagai sahih.

Dalam kitab-kitab hadis kecuali Sahih al-Bukhari, didapati sejumlah besar hadis membicarakan Imam Mahdi, diriwayat melalui pelbagai sumber dan jalan riwayat. Hadis-hadis itu menjelaskan sifat-sifat Mahdi, perwatakan, keperibadian dan kepimpinannya. Justeru banyak sumber dan jalan riwayat, maka hadis itu pastinya mempunyai nilai-nilai kesahihannya, walaupun ia tidak dianggap setanding dengan hadis-hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Justeru hadis-hadis tentang Mahdi tidak mempunyai nilai kesahihan pada peringkat tinggi, atau tidak mutawatir seperti yang dikehendaki untuk dijadikan dalil bagi akidah Islam, maka ulama berpendapat, jika seseorang Muslim, mempertikaikan kemunculan Imam Mahdi, maka kedudukannya sebagai seorang muslim tidak terjejas dan tidak boleh dikafirkan, kerana ketiadaan dalil qat`i yang menyatakan Imam Mahdi akan muncul.

Sifat-sifat, perwatakan, keperibadian dan kepimpinan Imam Mahdi sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis riwayat Abu Daud, Tirmidhi, Nasa`i dan Ibn Majah , boleh dirumuskan sebagai bernama Muhammad atau Ahmad bin Abdullah, berasal daripada keturunan Fatimah puteri Rasulullah (s.a.w.), akhlaknya menyerupai akhlak Nabi Muhammad (s.a.w.), tetapi bentuk badannya tidak menyerupai, dahinya sulah, hidungnya mancung, kegiatannya setelah muncul ke dunia, menegakkan Islam dan keadilan, menghapuskan kezaliman, berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi (s.a.w.).

Hadis-hadis selanjutnya menyatakan, justeru keadilan tertegak padsa zamannya, maka kehidupan manusia cukup bahagia dan mewah hidupnya di bawah pimpinan Imam Mahdi. Beliau diberi kesempatan memerintah selama 7 tahun, kemudian diikuti dengan kemunculan Dajjal yang banyak membuat kacau bilau, fitnah dan huru hara, akhirnya turun pula Nabi Isa yang berkerjasama dengan Mahdi, lalu membunuh Dajjal, seterusnya Imam Mahdi meninggal dunia, jenazahnya disembahyang oleh seluruh umat Islam.

Demikianlah imam Mahdi yang dinyatakan dalam hadis, tetapi siapa dan bila tarikh kemunculannya, bahkan di negeri mana akan muncul?. Setakat ini, tiada siapa yang berani memberi jawapan dengan tepat dan cukup bukti, walaupun sejarah telah menyaksikan ramai orang yang mendakwa dirinya Mahdi, tetapi semuanya dipertikaikan.

Saya berminat mengemukakan beberapa pendapat yang pernah diketengahkan oleh para ilmuwan Islam tentang Mahdi, yang sekali gus mengulas hadis-hadis yang berkaitannya. Justeru pendapat-pendapat tentang Mahdi tidak boleh diperkukuhkan dengan dalil-dalil mutawatir dan qat`i, maka setiap pendapat itu masih boleh dipersoal, dikritik dan dinilai semula. Pendapat-pendapat yang dimaksudkan ialah:

Pertama. Kebanyakan umat Islam berpendapat, Mahdi ialah seorang manusia yang bakal dilahirkan sebelum Kiamat, Sifat dan perwatakannya adalah mengikut seperti yang disebut dalam hadis di atas. Saya berpendapat, pendapat ini sukar diterima secara keseluruhannya, kerana ramai orang bernama Muhammad atau Ahmad bin Abdullah, begitu juga orang yang berdahi sulah dan berhidung mancung, begitu juga dengan akhlak dan kerangka badan, namun untuk disifatkan mereka sebagai Mahdi, sangatlah berat. Jika Mahdi merupakan suatu jawatan hanya berpandukan tanda-tanda sepertri dalam hadis, ada kemungkinan manusia boleh merancang dirinya untuk menjadi Mahdi, dengan persiapan dari segi biologi dan maklumat, kemudian membuat dakwaan setelah selesai melengkapkan diri dengan tanda-tanda yang diperlukan.

Sejarah telah menyaksikan ramai orang mendakwa dirinya Mahdi, seperti gerakan Muhammad Ahmad al-Mahdi (1845-1885) Di Sudan, tetapi Kiamat masih belum juga berlaku. Dakwaan-dakwaan itu, membuktikan manusia berminat sekali mengaku Mahdi, mereka tidak jemu-jemu mempersiap diri dengan sifat-sifat Mahdi, entah berapa Mahdi lagi akan muncul sebelum Kiamat.

Kedua. Kemunculan Mahdi, ertinya kemunculan seorang reformis Islam yang akan menegakkan semula syariat Islam dan menghapuskan kemungkaran yang bermaharajalela di dunia. Pendapat ini menjadi pilihan Sayed Sabiq dalam kitabnya al-`Aqa’id al-Islamiyyah hal. 250.

Imam Mahdi sebagai reformis Islam juga boleh dipertikaikan, kerana reformis Islam, lahir pada setiap abad. Hadis rasulullah (s.a.w.) yang diriwayat Abu Dawud daripada Abu Hurayrah (r.a.) menyatakan yang bermaksud: Sesungguhnya Allah membangkitkan di kalangan umat ini, orang yang membaharui agamanya, pada setiap satu abad. Imam al-Suyuti menamakan tokoh-tokoh reformis itu, bermula dengan Umar Ibn Abdul Aziz dan terus menerus hingga berakhir dengan Nabi `Isa (a.s.) sebagai reformis yang terakhir. Mahdi dengan pengertian reformis pula seolah-olah kemunculannya tiada sebarang hubungan lagi dengan kemunculan Kiamat, kerana kedatangan reformis berlaku pada setiap abad.

Tafsiran mengenai hadis-hadis Imam Mahdi sebagai reformis, lebih tepat jika dikatakan ia adalah seorang ahli politik dan sekali gus mendalami agama, kerana pimpinan yang berjaya menegakkan keadilan dalam ertikata yang sebenarnya, memerlukan seorang tokoh yang aktif dalam dua bidang, agama dan politik.

Ketiga. Menurut kebanyakan ahli hadis, Imam Mahdi ialah Nabi `Isa (a.s.), baginda akan turun ke dunia setelah diangkat Allah ke langit seperti yang disebutkan dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai `Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkat mu ke sisi Ku (Ali `Imaran: 55). Pendapat ketiga ini, menjadi pilihan Syeikh Mahmud Syaltut bekas rektor Universiti Al-Azhar dan Dr. al-Namir, bekas Menteri Wakaf Mesir yang banyak merujuk kepada pemikiran Syaltut, namun beliau pada akhirnya berpendapat, tidak menjadi kafir jika seseorang menolak kepercayaan turunnya Nabi `Isa. Keterangan ini membayangkan keraguan beliau terhadap kekuatan dalil itu (Lihat al-Fatawa, hal. 65)

Pendapat ini seperti juga beberapa pendapat di atas, boleh dipertikaikan kekuatannya, kerana hadis-hadis menyebutkan nama Imam Mahdi ialah Muhammad atau Ahmad bin Abdullah, lahirnya dari keturunan Fatimah puteri Nabi Muhammad (s.a.w.) seperti yang dinyatakan dalam rumusan di atas. Nabi `Isa tidak pernah memakai nama Muhammad atau Ahmad. Nabi `Isa tidak bernama Muhammad dan tidak pula berasal daripada keturunan Fatimah.

Keempat. Sebahagian ulama berpendapat, kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman adalah kesah dongeng yang dipergunakan untuk kepentingan politik perkauman. Antara ulama semasa yang menolak hadis-hadis Mahdi ialah Syeikh Abdullah bin Zaid, ketua hakim mahkamah Syari`ah Qatar. Menurut beliau:

Hadis-hadis Mahdi adalah rekaan golongan berkepentingan untuk menakut-nakutkan kumpulan lawannya yang terdiri daripada puak Mu`awiyah yang memrintah. Beliau menolak hadis-hadis berkenaan satu demi satu dalam bukunya bertajuk La Mahdi Yuntazar, hal. 28-41.

Saya berpendapat, pendapat keempat ini terlalu keras, kerana ramai kalangan ahli hadis yang menganggap hadis-hadis itu sahih, kajian-kajian yang dibuat mereka membuktikan kesahihan sumbernya.

Kelima. Menurut kepercayaan kaum Syi`ah, Imam Mahdi ialah Muhammad Ibn al-Hasan al-`Askari (255-260 H.) yang menghilang diri di Samarra, ketika berusia 5 tahun. Beliau akan keluar dari persembunyiannya pada suatu masa akan datang, untuk membalas dendam atas kezaliman yang dilakukan terhadap al-Husayn dan keluarga Rasulullah.

Pendapat ini pula lebih berbau politik perkauman, digunakan oleh kaum Syi`ah bagi mempertahankan pemimpin hanya pada keturunan Ali sahaja. Mereka mengharuskan wujudnya pemimpin ghaib, dengan kepercayaan bahawa pada suatu hari nanti akan keluar menemui penyokong-penykongnya.

Kalangan ahl al-sunnah wa al-jamaah tidak menerima pendapat ini, kerana pemimpin bukannya ditentukan melalui warisan, tetapi ditentu melalui syura yang bertindak memutuskan siapa bakal pemimpin setelah berlaku kematian. Sejarah memperlihatkan kejayaan umat Islam, apabila memilih beberapa khalifah selepas kewafatan Rasulullah (s.a.w.) melalui semangat syura. Justeru itu, kita tidak menunggu kedatangan Mahdi, sebagaimana kaum syiah sedang menunggu. Keadilan dalam Islam juga boleh ditegak, tanpa Mahdi.

Kita tidak harus menolak hadis-hadis yang membicarakan tentang Imam Mahdi, setelah didapati hadis-hadis itu sahih mengikut kaedah penilaiannya, tetapi kita tangguh ulasan dan kefahaman selanjutnya, sehingga Allah membuka pintu hati kita jalan terbaik untuk memahaminya. Banyak hadis yang tidak dapat difahami dengan betul pada suatu ketika dahulu, kerana kecetekan ilmu, tetapi kini ia difahami dengan baik. Kita tidak perlu gopoh mengenainya, kerana tiada sesuatu yang baru bagi Islam dibawa oleh Mahdi. Sikap ini lebih baik daripada menolaknya secara terbuka dan mudah, atau menganggapnya sebagai dongeng.

Sebagai kesimpulan, kemunculan imam Mahdi bukanlah sesuatu yang berupa prinsip di dalam Islam. Ia boleh diterima atau ditolak, iman tidak bertambah atau berkurang kerana kepercayaan Mahdi. Wallah A`lam.

No comments:



Select Your Langguage

Advertisement

Warisan Tamadun



Mungkin Anda Meminati ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...