Thursday, August 16, 2012

Impian Baca Al-Quran Terjemahan Bahasa Khmer Tercapai


PHNOM PENH, 15 Ogos (Bernama) -- Yayasan Restu dan Kementerian Pertahanan telah mencetak 40,000 naskah al-Quran yang diterjemah ke bahasa Khmer, satu usaha yang mengambil masa 15 tahun, untuk kegunaan penduduk Islam di Kemboja.
.

Sebanyak 3,840 naskah al-Quran itu diserah kepada Timbalan Menteri Pengangkutan dan Latihan Vokasional Kemboja merangkap Pengerusi Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja Othsman Hassan, di Masjid Kilometer 9 di sini. Acara penyerahan itu disempurnakan Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Penasihat Agama Menteri Pertahanan Datuk Kamaruddin Mamat.

"Baki cetakan al-Quran itu akan dihantar secara berperingkat selepas Hari Raya Aidilfitri menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dan AirAsia," kata Kamaruddin pada majlis itu.

Beliau menarik perhatian bahawa terjemahan kitab suci itu ke bahasa Khmer mengambil masa 15 tahun dan diketuai penterjemah Zakaryya Adam dengan kerjasama Yayasan Restu.

"Sebagai seorang Islam, saya berbangga dengan izin Allah akhirnya usaha menterjemah al-Quran ke bahasa Khmer berjaya dibuat walaupun ia mengambil masa belasan tahun untuk disiapkan," kata Kamaruddin.

"Saya bagi pihak Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan projek ini," katanya.

Turut hadir Mufti Kemboja Kamaruddin Yusuf dan tokoh-tokoh agama tempatan yang turut membantu sehingga terjemahan kitab suci itu sampai ke bumi Kemboja.

Kamaruddin berharap projek itu dapat meningkatkan hubungan persaudaraan sesama Islam selain menzahirkan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap saudara seagama yang memerlukan bantuan.

Urusan percetakan dan penghantaran naskah al-Quran berkenaan ke Kemboja diuruskan Yayasan Restu manakala pengedarannya dikendalikan Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja dengan kerjasama Majlis Tertinggi Umat Islam Kemboja dan beberapa pihak lain.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata 60,000 lagi al-Quran terjemahan bahasa Khmer akan dicetak selewat-lewatnya akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan 100,000.

Beliau berkata penyelidikan, penulisan, percetakan dan penghantaran membabitkan kos RM3 juta sumbangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Othsman berkata umat Islam Kemboja berbangga kerana rakyat Malaysia mampu merealisasikan impian mereka untuk membaca al-Quran yang diterjemah ke bahasa Khmer.

Beliau berkata umat Islam Kemboja selama ini hanya membaca al-Quran tanpa memahami maksud sebenar kecuali mereka yang memahami bahasa Arab.
.

Sehubungan itu, penduduk Islam Kemboja berterima kasih kepada Ahmad Zahid kerana membantu menerbitkan al-Quran terjemahan Khmer itu, katanya.

-- BERNAMA

1 comment:

Ain said...

Alhamduliilah. Segala pujian hanyalah untuk Allah. This won't happen if not for His mercy. May He bless those involve in this good effort.

Select Your Langguage

Advertisement

Warisan Tamadun



Mungkin Anda Meminati ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...