JIKA anda menganggap puntianak hanya
mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi
Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman
Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi
menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.
Dua rangka itu, dikatakan berusia 800
tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar
Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.
Ketua Muzium Sejarah negara itu,
Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan
penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.
Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.
Mereka yakin batang besi itu dapat
menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan
mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman
besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini
“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka
seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri
perkataan puntianak,” katanya.
Puntianak Eropah kebiasaannya adalah
lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak
wanita di Venice – ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam
mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu.
Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.
Ahli antropologi Universiti Florence,
Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo
di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi
dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad
berkenaan.
“Untuk membunuh puntianak itu, anda
terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan
sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh
dimakan,” jelas Borrini.
Kisah puntianak ternyata bukan sahaja
terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di
negara-negara maju di Eropah.
Cerita itu juga popular di Indonesia
hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak.
Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama
bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu
ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu
dari Laut China Selatan.
Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.
Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.
Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi,
meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan
sultan di Pontianak.
“Kini ia digunakan untuk memaklumkan
penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari
Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.
Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.
Kisah puntianak turut diangkat oleh
penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The
Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat
digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada
masa itu.
Di Croatia pada tahun 1672, penduduk
sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati
pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol
wanita janda.
Serangan puntianak turut menggemparkan
Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan
berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di
London.
Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak
berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku
mengenainya hingga memperoleh keuntungan.
Seorang penulis buku dan juga pemburu
hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di
kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.
Pada Januari 2005 pula, penduduk
Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan
seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya.
Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak
itu hanya khabar angin
Seorang pakar teologi Perancis, Dom
Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes
serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk
itu.
Mitos
Pemerintah Austria pada kurun ke-17,
Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya,
Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir
dengan kegagalan.
Kata Swieten, kisah puntianak itu
sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk
memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.
Pengkaji alam misteri dan sejarah purba
Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya
ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.
Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.
“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.
“Malah, cara menghapuskan puntianak
mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau
abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan
menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.
Merujuk kepada negara ini, puntianak
dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di
tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.
Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.
“Di situ, saya berjumpa dengan hantu
puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10
sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya
hantu itu memarahi saya.
“Hantu itu memakai pakaian berwarna
putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam,
memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.
No comments:
Post a Comment