Tuesday, February 19, 2013

Saintis dakwa temui serpihan tahi bintang


KOMBINASI gambar rakaman sebuah kamera video menunjukkan sebutir tahi bintang meluncur di langit Chelyabinsk, sekitar 1,500 kilometer ke timur Moscow, Rusia pada Jumaat lalu.


MOSCOW - Sepasukan saintis semalam mendakwa yang mereka telah menemui serpihan tahi bintang yang jatuh di Pergunungan Ural, Rusia selepas mencetuskan gelombang yang menyebabkan 1,200 orang cedera dan beribu-ribu buah rumah rosak.
Batu angkasa lepas gergasi itu meluncur di langit bandar Chelyabinsk, tengah Rusia pada Jumaat lalu dengan tenaga bersamaan 30 butir bom atom yang digugurkan ke bandar Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Tahi bintang tersebut meletup beberapa kilometer dari Bumi tetapi serpihan-serpihannya dipercayai bertaburan di serata rantau tersebut.
Sebelum ini, sekumpulan petugas yang memeriksa sebuah tasik kecil di mana serpihan-serpihan tahi bintang itu dipercayai jatuh gagal membuat sebarang penemuan.
Namun, sepasukan saintis Akademi Sains Rusia yang melakukan beberapa ujian kimia ke atas beberapa batu aneh kelmarin berkata, serpihan itu datang dari angkasa lepas.
"Kami mengesahkan bahawa beberapa partikel yang ditemui oleh pasukan ekspedisi kami berhampiran Tasik Chebarkul benar-benar memiliki komposisi meteorit," kata saintis berkenaan, Viktor Grokhovsky menurut agensi berita RIA Novsosti.
Universiti Persekutuan Ural tempat Grokhovsky bertugas turut menyiarkan gambar seorang lelaki memegang sebutir batu hitam kecil semalam.
"Meteorit ini berasal daripada kondrit kelas biasa (angkasa lepas)," kata pihak universiti berkenaan dalam satu kenyataannya.
Menurut Grokhovsky, batu itu mengandungi komposisi besi metalik selain krisalit dan sulfit.
Kandungan besi dalam batu tersebut dianggarkan sebanyak 10 peratus.
"Besar kemungkinan, batu ini akan dinamakan sebagai Meteorit Most Chebarkul," kata kenyataan.
Gelombang kuat tahi bintang itu memecahkan tingkap-tingkap hampir 5,000 bangunan dan menyebabkan 40 orang termasuk tiga kanak-kanak dirawat di hospital kelmarin kerana mengalami luka dan kecederaan lebih serius.
Sekitar 24,000 petugas kecemasan dan sukarelawan sibuk menggantikan tingkap-tingkap yang pecah pada hujung minggu lalu sebelum orang ramai mula bekerja.
Serpihan-serpihan tahi bintang tersebut yang jatuh ke Bumi turut mencetuskan minat banyak pihak.
Beberapa pengumpul serpihan angkasa lepas di Rusia telah menyiarkan iklan di internet yang menawarkan bayaran AS$10,000 (RM30,900) untuk serpihan batu tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2LIpcJQ71 

Thursday, February 14, 2013

Misi menggali Piramid Bosnia

BUKIT Viscocia di Sarajevo, Bosnia Herzegovina yang dipercayai tertanamnya Piramid Matahari.





KUMPULAN penyelidik PPAG USM komited dalam usaha kajian mereka walau terpaksa meredah kawasan hutan tebal.





ANTARA terowong di Bukit Viscocia yang dijumpai oleh para arkeologi antarabangsa yang dipercayai tertanamnya Piramid Matahari.



BERITA penemuan tapak kilang peleburan besi dipercayai dibina seawal abad pertama Masehi di Kampung Gading, Jeniang, Kedah pada bulan lalu oleh pakar-pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) menarik perhatian umum.

Tujuh buah relau tempat melebur besi berbentuk bulat yang masih lengkap ditemui bersama sejumlah tuyere iaitu alat pembakaran yang diguna dalam industri itu pada zaman tersebut.
Perkakasan itu dipercayai telah bersemadi di dalam tanah di situ sejak ribuan tahun lalu. Bagaimanapun kejayaan penemuan itu bukan satu kebetulan, tetapi menerusi hasil tinjauan geofizik yang dilakukan.

Kesan kajian ke atas tanah meyakinkan pasukan yang dipimpin oleh Profesor Madya Dr. Mokhtar Saidin bahawa di dasar tanahnya ada menyimpan khazanah arkeologi yang cukup hebat.
Apa yang menarik, penemuan terbaru itu berjaya melengkapkan kajian pengkaji Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) selepas kejayaan menemui tapak serupa di Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah pada Mei 2007.

Selaku Pengarah PPAG, Mokhtar menyifatkan ekskavasi hampir 30 kilometer (km) dari Sungai Batu itu turut mengubah landskap kajian Lembah Bujang yang kini dianggarkan lebih luas iaitu kira-kira 1,000 km persegi.

Sebelum itu pada Mac lalu, sepasukan PPAG berjaya menemui satu lagi kesan sejarah yang cukup hebat di Guar Kepah dekat Seberang Perai Utara.

Jika ekskavasi Sungai Batu berjaya menemui bukti tamadun awal di Lembah Bujang, misi arkeologi itu pula mengesahkan wujudnya penempatan manusia di Pulau Pinang pada zaman prasejarah.

Setanding penyelidik antarabangsa

Difahamkan, nilai arkeologi di Guar Kepah cukup tinggi kepada penduduk Pulau Pinang terutama bagi melengkapkan sejarah tamadun awal manusia di negeri ini yang dipercayai telah wujud sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu.

Kejayaan demi kejayaan penerokaan khazanah sejarah negara yang dilakukan oleh PPAG sebenarnya bukan dicapai dengan jalan mudah terutama dalam membina kepakaran para penyelidiknya.
Kepakaran anak-anak tempatan berjaya meletakkan PPAG sebaris dengan kumpulan-kumpulan penyelidik antarabangsa terkemuka lain di luar negara sekali gus menolak tanggapan mereka hanyalah pakar arkeologi kampung.

Buktinya, misi ekskavasi Sungai Batu berjaya menarik minat pengkaji-pengkaji luar antaranya dari Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Burma untuk melihat sendiri serta berkongsi kepakaran.

Terbaru, kepakaran PPAG ditagih kerajaan Bosnia Herzegovina dalam misi ekskavasi yang dipercayai sebagai menggali piramid terbesar di dunia.

Melalui Yayasan Bosnian Pyramid of the Sun, PPAG akan berganding bahu dengan beberapa kumpulan penyelidik dari luar untuk mencari Piramida Sunca atau Piramid Matahari yang terletak di kawasan pergunungan di Bukit Viscocia, sebelah utara Sarajevo.

Piramid itu dipercayai dibina di antara 12,000 hingga 500 Tahun Sebelum Masehi oleh orang-orang Illyria iaitu satu tamadun dalam kerajaan Greek Purba dipercayai mendiami sekitar Semenanjung Balkan.

Difahamkan, keyakinan kerajaan negara itu terhadap Malaysia cukup tinggi berdasarkan peranan kita semasa bertugas sebagai tentera pengaman ketika konflik perang Balkan meletus 17 tahun lalu.

Pencarian kota purba

Melalui penglibatan secara langsung PPAG USM, ahli-ahli arkeologi Bosnia Herzegovina berharap mereka memperoleh kepakaran PPAG dalam misi ekskavasi yang disifatkan lebih hebat daripada pencarian kota purba atau piramid di Mesir.

Difahamkan sejak pertengahan April 2006, kerja-kerja penggalian sudah mulai dilakukan di kawasan bukit itu yang menemui tapak kota kuno dan beberapa terowong yang dipercayai laluan masuk ke piramid serta lorong-lorong kecil di lereng bukit.

Selain sisa-sisa organik, kayu dan batu-bata purba, penggalian masih belum menunjukkan tanda-tanda penemuan seperti tapak ritual kerana para arkeologi percaya piramid itu bukan kawasan makam.

Apa yang pasti, penemuan piramid itu akan mempunyai implikasi lebih lanjut terhadap perubahan pengetahuan sejarah dunia dan ada kemungkinan Piramid Bosnia itu lebih tua berbanding Piramid di Giza.

Bagaimanapun misi eskavasinya tidak mudah kerana hampir 100 peratus kawasan Bukit Viscocia dengan ketinggian 230 meter dari paras laut dilitupi hutan tebal
Para arkeologi percaya terdapat tiga piramid di situ iaitu Bosnian Sun Pyramid di Bukit Viscocia, manakala dua bukit yang lebih kecil di sekitarnya pula tertanam Bosnian Moon Pyramid dan Bosnian Dragon Pyramid.

Pada satu sidang akhbar di pejabat PPAG baru-baru ini, Mokhtar berkata, kumpulan pertama PPAG USM terdiri daripada lapan penyelidik yang juga pensyarah serta pelajar siswazah telah pun memulakan kajian mereka di bukit berkenaan pada 10 hingga 23 Jun lalu.

Kumpulan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah PPAG sendiri iaitu Prof. Madya Stephen Chia telah membuat tinjauan tanah, kerja-kerja asas selain berbincang dengan lebih lanjut bersama rakan sejawatan mereka.

Menurut Mokhtar, ia akan disusuli dengan menghantar tiga lagi kumpulan penyelidik secara berperingkat. Kumpulan kedua sudah pun berangkat pada 10 Julai lalu diikuti kumpulan ketiga pada 31 Julai dan kumpulan keempat pada 19 September 2010.

"Selain itu, kita juga ditugaskan untuk membangunkan tenaga pakar arkeologi di Bosnia agar mereka dapat meneruskan usaha ini tanpa perlu bergantung kepada pakar arkeologi dari luar.

"Masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan kewujudan piramid berkenaan namun jemputan pihak Bosnia membuktikan bahawa PPAG USM diiktiraf di peringkat dunia," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0713&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_05.htm#ixzz2KqTbUUBu


Select Your Langguage

Advertisement

Warisan Tamadun



Mungkin Anda Meminati ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...